5 CARA JADI IBU TEGAS TETAPI PENYAYANG
Ingin Jadi Ibu Tegas Tetapi Penyayang
Lumrah semula jadi karektor ibu adalah seorang yang suka membebelkan anak-anak. Garang, tegas, kuat berleter antara karektor sinonim dengan ibu. Bagaimanapun kebanyakan anak-anak memang rapat dengan ibu. Biarpun ibu suka membebel dan marah-marah tetapi anak tetap hendak dengan ibu. Tetapi itu mungkin gambaran karektor ibu zaman dulu-dulu.
Di zaman serba berteknologi ini masih adakah ibu yang garang dengan anak-anak? Pendedahan kepada ilmu keibubapaan era kini yang lebih mengutamakan pendekatan psikologi membuatkan ramai anak-anak semakin kurang takut dengan ibu atau dengan kata lain selamba sahaja melawan cakap ibu. Jika anak dulu, sekali ibu jegilkan mata sebagai isyarat 'jangan lakukan perkara tersebut' sudah cukup buat anak diam menikus. Tetapi anak sekarang, boleh pula ditanya kenapa ibu besarkan mata?
Sebagai antara orang yang paling rapat dengan anak, ibu perlu menjadi tegas dan garang tetapi dalam masa yang sama penyayang terhadap anak-anak. Pengaruh ibu sangat kuat dalam mendidik anak-anak generasi sekarang lebih berdisiplin, tahu menghormati orang yang lebih tua, bertanggungjawab dan patuh kepada perintah ibu bapa. Mungkin sudah tiba masanya ibu mempraktiskan cara-cara berikut dalam mendidik anak-anak era ledakan pengaruh media sosial.
1. Jangan turutkan semua kemahuan
Kebanyakan ibu mudah 'cair' dengan permintaan anak. Ada kalanya disebabkan tidak mahu anak merengek dan mengganggu ibu untuk buat perkara lain, maka ibu turutkan semua permintaan anak. Tindakan ini sangat berbahaya! Tidak kira sama ada anak menangis berguling atau menjerit, ibu perlu tegas dengan pendirian dan tidak mengikut semua kemahuannya.
2. Usaha sendiri
Kadang kala ibu perlu sesekali mengajar anak berusaha sendiri jika mahukan sesuatu. Bagaimanapun cara ini perlu dipraktiskan mengikut tahap usia anak. Contohnya jika anak yang sudah bersekolah tadika, meminta dibelikan barang yang mereka inginkan, ibu boleh menyuruh anak mengumpul duit yang diperoleh daripada ibu ayah demi untuk membeli barangan tersebut. Biarkan mereka belajar susah senang mengumpul duit untuk mendapatkan barang. Barulah mereka menghargai barangan tersebut.
3. Patuh dengan peraturan
Jika sudah menetapkan peraturan di rumah maka ia wajib dipatuhi oleh si anak. Dalam masa yang sama, ibu perlu tegas melaksanakan peraturan tersebut supaya jangan nanti anak memperlekehkan peraturan tersebut jika ibu tidak melaksanakannya.
Baca juga: Panduan Mama Atasi Tekanan
4. Disiplinkan anak hormat ibu
Didik anak dari kecil supaya menghormati ibu. Ajar anak supaya segera menjawab panggilan ibu dengan sopan iaitu "Ya, ibu" dan segera tinggalkan apa yang sedang dilakukan ketika itu. Jika anak sudah terbiasa dengan disiplin tersebut, maka sampai dewasa dia akan segera utamakan panggilan dari ibu. Jangan biarkan anak sibuk menonton TV dan enggan mengendahkan panggilan ibu ketika dipanggil. Alasannya konon anak masih kecil. Bukankan melentur buluh itu biar dari rebungnya!
5. Sentiasa jadi ibu yang 'penyibuk'
Oleh kerana kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu maka ambil peluang ini untuk menjadi 'penyibuk'. Ia penting untuk kita memantau pergerakan dan perbuatan anak apatah lagi di era semua perkara boleh dilihat menerusi teknologi Internet tanpa mengira batasan usia si anak.
semoga anda jadi ibu penyayang dan anda mendapat anak yang membahagiakan kedua orang tua..asmkum..
hasil bacaan dan perkongsian
Ulasan